Ahad, 21 Julai 2019 | 9:02pm
Mohd Nasir menunjukkan gambar anak saudaranya, Sharil Apipie Mokhtar, yang meninggal dunia selepas dihempap konkrit tangga dalam pembinaan di sebuah rumah di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, tengah hari tadi. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Bapa saudara terkejut

PASIR MAS: “Kami terkejut apabila mendapat panggilan sedih jam 5 petang tadi memaklumkan kejadian yang menimpa Sharil dan isterinya”.

Demikian kata Mohd Nasir Mohd Yusof, 48, iaitu bapa saudara kepada Sharil Apipie Mokhtar, 29, yang meninggal dunia selepas dihempap konkrit tangga dalam pembinaan di sebuah rumah di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, tengah hari tadi.

Turut meninggal dalam kejadian yang meragut empat nyawa itu ialah isteri Sharil Apipie yang sarat mengandung lapan bulan, Wan Hasheliza Wan Ibrahim, 29.

Mohd Nasir berkata, mereka sekeluarga mengetahui kejadian sedih itu selepas dihubungi anak saudaranya yang tinggal di Kedah jam 5 petang tadi.

“Kejadian itu amat mengejutkan kami sekeluarga dan sebaik menerima berita itu, abang saya yang juga bapa Sharil Apipie, Mokhtar Mohd Yusof, 53, terus bertolak ke Hospital Sungai Buloh (HSB).

“Saya tidak menyangka Sharil Apipie sudah meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya dan kali terakhir bertemunya pada Aidilfitri lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Kampung Chabang Empat Chetok, di sini, malam ini.

Konkrit tangga dalam pembinaan yang runtuh di sebuah rumah di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh, tengah hari tadi. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Ketua Zon 1 Shah Alam JBPM Selangor, Razali Mohd Nasir (kanan) melihat keadaan tangga runtuh yang dalam pembinaan di sebuah rumah di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Terdahulu, mayat pasangan suami isteri itu ditemui dalam keadaan berpelukan selepas tangga rumah teres dua tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Kampung Matang Pagar, Sungai Buloh jam 12.57 tengah hari tadi.

Turut terkorban jiran yang cuba menyelamatkan mereka Mohd Radezi Abdul Aziz, 35, dan warga Indonesia, Bambang Sulisto, 39.

Keempat-empat mangsa dipercayai turut terkena renjatan elektrik.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, arwah seorang anak yang baik dan mesra dengan penduduk kampung.

“Sepatutnya Sharil akan pulang ke kampung Aidiladha ini kerana isterinya bakal bersalin anak sulung,” katanya.

Berita Harian X