Isnin, 22 Julai 2019 | 12:31pm
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SPAN minta polis siasat kemungkinan sabotaj

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meminta polis menyiasat kemungkinan wujud elemen sabotaj dalam dua insiden pencemaran di muka sauk empat loji rawatan air (LRA) antara Jumaat lalu hingga semalam.

Pengerusi SPAN, Charles Santiago, berkata pihaknya yang terkilan dan bersimpati dengan penderitaan rakyat Selangor berikutan penutupan empat LRA akibat pencemaran di Sungai Selangor itu, membuat laporan polis pada jam 10 pagi tadi.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 121(1) Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655) untuk mencemar atau menyebabkan supaya dicemarkan mana-mana alur air atau sistem bekalan air atau mana-mana bahagian alur air atau sistem bekalan air itu dengan apa-apa bahan, yang berkemungkinan akan membahayakan nyawa mana-mana orang.

“SPAN akan menggunakan akta sedia ada untuk mengambil tindakan tegas terhadap pelaku. SPAN juga berharap Kerajaan Selangor akan menamatkan konsesi kontraktor pasir sekiranya mereka didapati terbabit dalam insiden pencemaran ini.

“Pihak Majlis Daerah Hulu Selangor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) perlu turut mengambil tindakan tegas terhadap semua pihak terbabit dalam insiden ini.

“Bagi mengelakkan berulang insiden pencemaran mengakibatkan beban kepada orang ramai, Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan perlu mempertimbangkan pemberhentian segala aktiviti ekonomi di sekitar kawasan sungai, terutama bahagian hulu sungai yang merupakan sumber air aktiviti harian pengguna, termasuk masakan serta minuman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dua insiden pencemaran dalam tempoh tiga hari berkenaan amat membimbangkan SPAN, termasuk kejadian pertama membabitkan pencemaran bau yang menyebabkan penutupan LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 serta LRA Rantau Panjang pada Jumaat lalu.

“Insiden kedua ialah pencemaran diesel akibat aktiviti kerja pengorekan pasir di hulu sungai. Keempat-empat LRA terpaksa dihentitugas sekali lagi, semalam, apabila pemulihan bekalan air baru saja mencapai tahap 97 peratus.

“Kami berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menyiasat elemen sabotaj dalam kedua-dua insiden pencemaran ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Charles berkata, sungai adalah sumber air mentah utama di Malaysia, justeru kebersihan dan kemaslahatannya amat wajar dipelihara sebagai tanggungjawab seluruh masyarakat.

“SPAN memohon orang ramai tidak menjadikan sungai tempat pembuangan sampah terbuka. Walaupun air terawat/bersih di Malaysia dicaj pada kadar rendah, ia adalah entiti terpenting kepada keperluan manusia dan industri.

“Maka, adalah tanggungjawab bersama untuk kita memastikan kelangsungan sungai tidak tercemar agar bekalan air tidak terganggu,” katanya.

Berita Harian X