Isnin, 22 Julai 2019 | 3:16pm
Putra Aliff (tengah) diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan kepada wanita berusia 24 tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh. - NSTP/Muhammad Zuhairi Zuber

Tukang besi dituduh tumbuk muka isteri

MELAKA: Seorang tukang besi didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menumbuk isterinya ketika mereka berada dalam sebuah kereta pada 1 Julai lalu.

Putra Aliff Aqhmal Pervira, 26, yang kini sudah bercerai dengan isterinya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Dia didakwa menyebabkan kecederaan kepada wanita berusia 24 tahun itu dengan cara menumbuk muka mangsa ketika sedang memandu di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran lampu isyarat Paya Rumput, kira-kira jam 10 malam, 1 Julai lalu.

Putra Aliff didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326a kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan jaminan RM8,000, namun tukang besi itu yang tidak diwakili peguam merayu ia dikurangkan.

Tertuduh memberi alasan tindakannya itu disebabkan berang dengan bekas isteri yang tidak membenarkan dia membawa bayi mereka berusia lapan bulan pulang ke kampung halamannya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 September ini untuk sebutan semula kes.

3363 dibaca
Berita Harian X