Isnin, 22 Julai 2019 | 5:46pm
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Video lucah: Polis rakam keterangan ADUN

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan sudah memanggil seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes pembikinan dan penyebaran video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ADUN berusia 34 tahun itu hadir memberi keterangan di Bukit Aman selama sejam setengah berakhir jam 11.30 pagi tadi.

“Seorang lelaki yang ditahan di Shah Alam, Jumaat lalu pula akan dilanjutkan tempoh remannya (bagi membantu siasatan kes sama).

“Pada mulanya, lelaki itu direman selama tiga hari berakhir hari ini namun dilanjutkan tempoh remannya selama dua hari sehingga lusa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setakat kelmarin, jumlah keseluruhan yang ditahan polis adalah empat orang termasuk tiga yang dilanjutkan reman sehingga esok.

Yang dilanjutkan reman ialah Haziq Abdullah Abdul Aziz yang sebelum ini mengaku beliau seorang daripada dua individu dalam video terbabit, selain pengerusi PKR negeri berusia 37 tahun dan seorang individu ditahan bersamanya di Bandar Seri Alam, Masai, Johor pada Rabu lalu.

Tangkapan lain turut membabitkan seorang lelaki berusia 31 tahun yang ditahan di sebuah hotel di Glenmarie, Shah Alam pada jam 11.45 malam Jumaat lalu.

Berita Harian X