Isnin, 22 Julai 2019 | 7:34pm

SPRM tahan hakim Mahkamah Sesyen

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor, petang tadi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, berkata tangkapan itu ada kaitan dengan kes tangkapan sebelum ini membabitkan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis.

“Siasatan berkenaan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar.

“Sejumlah wang juga telah dirampas ketika tangkapan dibuat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan seorang DPP dilanjutkan dua hari berakhir esok.

Ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes menuntut bayaran membebaskan PATI.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, dilaporkan berkata enam anggota polis yang sebelum ini turut ditahan reman untuk membantu siasatan, dibebaskan hari ini.

Sembilan anggota polis antara 11 ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM pada Rabu lalu kerana dipercayai terbabit kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.

Mereka ditahan atas kesalahan menerima suapan bagi melepaskan sembilan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.

Dalam operasi khas itu, SPRM merampas wang tunai RM100,000 dengan pecahan RM17,500 dirampas daripada peguam, manakala RM82,500 dijumpai daripada DPP.

Berita Harian X