Selasa, 23 Julai 2019 | 12:57pm

Jabatan Pendaftaran Negara buat laporan polis susulan gambar tular

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini susulan isu penularan gambar di media sosial yang mendakwa ibu pejabat jabatan itu diserbu pendatang asing untuk mendapatkan status kewarganegaraan.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim, berkata laporan polis itu dibuat supaya satu siasatan dijalankan kerana tuduhan dibuat di media sosial tersebut boleh menggugat ketenteraman awam dan merosakkan keharmonian negara.

Beliau berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan kerana ia kerap ditularkan sejak akhir-akhir ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

“Tuduhan yang dibuat itu adalah tidak benar sama sekali dan boleh merosakkan imej serta reputasi JPN,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan berkenaan di sini, hari ini.

Katanya, gambar-gambar yang ditularkan di media sosial itu adalah gambar sekumpulan pelanggan yang hadir ke JPN Putrajaya pada 19 Julai yang lalu.

Jasri berkata, pelanggan itu adalah orang awam di Pulau Ketam yang mempunyai pelbagai urusan berkaitan pendaftaran termasuk permohonan kad pengenalan serta kelahiran dan tidak terhad kepada permohonan kewarganegaraan sahaja.

“JPN sudah dimaklumkan bahawa pelanggan-pelanggan tersebut terdiri daripada warga emas dan juga yang mempunyai kesukaran untuk hadir sendiri ke Pejabat JPN untuk urusan pendaftaran,” katanya.

Katanya, pihaknya menyangkal laporan dikeluarkan itu dan kesesakan di ibu pejabat JPN, di sini adalah pemandangan biasa setiap hari khususnya bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk pendaftaran.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana gambar yang tular itu sebenarnya pemandangan biasa setiap hari di JPN kerana ramai individu mempunyai urusan rasmi.

Sementara itu katanya, JPN ingin menegaskan bahawa permohonan kewarganegaraan Malaysia yang diterima oleh jabatan itu bukan tertumpu kepada satu-satu kaum sahaja, malah menerima permohonan daripada pelbagai kaum dan bangsa di Malaysia.

“Permohonan untuk mendapatkan kewarganegaraan hanya diberikan kepada mereka yang layak sahaja dan perlu mengikuti syarat yang ditetapkan namun, perlu diingatkan bahawa penganugerahan kewarganegaraan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Undang-Undang Persekutuan.

“Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh kerajaan kepada warga asing dan ianya tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut orang boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN di url www.jpn.gov.my atau hubungi Unit Komunikasi Korporat, JPN di talian 03-8880 7077/7067/7069/8206 atau e-mel ke [email protected].

TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim (tengah) bergambar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya mengenai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya diserbu pendatang asing bagi permohonan warganegara yang tular di media sosial. - Foto Mohd Fadli Hamzah
TIMBALAN Ketua Pengarah Operasi JPN, Jasri Kasim (tengah) bergambar selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya mengenai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya diserbu pendatang asing bagi permohonan warganegara yang tular di media sosial. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X