Selasa, 23 Julai 2019 | 6:01pm
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda (kanan). - NSTP/Ghazali Kori

MAIDAM sudah ambil keterangan Tok Ki kes zikir berdiri

KUALA TERENGGANU: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu sudah mengenal pasti lelaki dikenali sebagai Tok Ki yang didakwa membawa ajaran sesat mengamalkan zikir menyimpang ajaran Islam.

Yang Dipertuanya, Datuk Osman Muda, berkata pihaknya sudah mengambil keterangan lelaki itu yang berasal dari negeri ini dan laporan sudah dihantar kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Beliau berkata, MAIDAM dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) tidak boleh mengambil tindakan termasuk menahan individu terbabit kerana kegiatan itu dilakukan di Pahang, tetapi keterangan daripadanya sudah dihantar kepada JAIP.

“MAIDAM tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan termasuk menahan individu itu kerana kami tidak diberi penjelasan mengenai kesalahan dilakukannya yang didakwa menyimpang daripada ajaran Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) di Taman Tamadun Islam (TTI) yang turut dihadiri Pesuruhjaya JHEAT, Mat Azmi Arshad, di sini hari ini.

Osman mengulas kegiatan sekumpulan penduduk diketuai Tok Ki yang didakwa berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh yang didakwa menyimpang daripada ajaran Islam di sebuah surau di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.


Sekumpulan penduduk diketuai Tok Ki yang didakwa berzikir sambil berdiri dan menggerakkan anggota tubuh yang didakwa menyimpang daripada ajaran Islam di sebuah surau di Kampung Seberang Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh sebelum ini dilaporkan berkata, aktiviti itu sah menyimpang dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bagaimanapun, katanya, jenis ajaran atau tarekat diamalkan itu masih belum dikenal pasti dan usaha JAIP untuk mengambil keterangan gagal apabila individu terbabit melarikan diri ke Terengganu.

Sehubungan itu, JAIP meminta kerjasama MAIDAM dan JHEAT untuk membantu mengambil keterangan daripada individu berkenaan yang kemudian tampil ke JHEAT untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Osman berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan setakat ini tiada laporan mengenai kegiatan ajaran sesat di negeri ini, termasuk di Perkampungan Ayah Pin di Batu 13, Kuala Besut, Besut.

Katanya, kali terakhir kegiatan ajaran sesat dikesan di negeri ini adalah Mac tahun lalu, tetapi ketuanya dikenali Raja Bunian yang menjalankan kegiatan di sebuah surau di Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun, sudah dikenakan tindakan.

“Lelaki berusia 34 tahun yang mendakwa dirinya sebagai raja bunian sudah didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Syariah Jenayah Takzir Terengganu 2001, Julai tahun lalu,” katanya.

Berita Harian X