Selasa, 23 Julai 2019 | 8:51pm
BEKAS Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq
BEKAS Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Haziq, Farhash dibebaskan dengan jaminan polis

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, yang mengaku sebagai lelaki dalam video lucah dikaitkan dengan seorang menteri, dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi.

Turut dibebaskan, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dan seorang lagi individu yang ditahan bersamanya di Masai, Johor pada 16 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata ketiga-tiga mereka dibebaskan selepas tempoh tahanan reman mereka berakhir hari ini.

“Haziq, Farhash dan seorang lagi individu dibebaskan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada jam 3 petang, hari ini, dengan jaminan polis.

“Seorang lagi individu yang juga ahli perniagaan berusia 31 tahun yang ditahan di Shah Alam, Jumaat lalu akan dibebaskan esok, selepas tempoh tahanan remannya berakhir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

PENGERUSI PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (dua dari kanan) dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGERUSI PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak (dua dari kanan) dibebaskan dengan jaminan polis, petang tadi. - Foto Zunnur Al Shafiq

Haziq sebelum ini ditahan bersama lima individu dalam serbuan ke atas beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang, pada 14 Julai lalu, manakala Farhash ditahan bersama tiga individu di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Masai, Johor, dua hari kemudian.

Bagaimanapun lima individu yang ditahan pada hari sama Haziq ditangkap, dibebaskan lebih awal selepas tempoh reman mereka berakhir.

Sebelum itu, hampir puluhan penyokong Farhash Wafa Salvador berkumpul di hadapan IPD Dang Wangi, sejak jam 1 petang, bagi memberikan sokongan kepadanya.

Beliau kemudian dilihat keluar dari IPD Dang Wangi pada jam 3.45 petang.

Sementara itu, peguam kepada Haziq, Kenzin Goik berkata, polis bertindak profesional dalam siasatan ini.

“Sekiranya ada keperluan untuk panggil semula Haziq, kita akan beri kerjasama,” katanya.

Berita Harian X