Rabu, 24 Julai 2019 | 5:55pm
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah (tengah) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah (tengah) menunjukkan dadah dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tiga beranak ditahan disyaki edar dadah

PASIR MAS: Polis menumpas satu sindiket pengedaran dadah dengan penahanan seorang lelaki warga Thailand bersama isteri dan anaknya yang hamil empat bulan di sebuah rumah sewa di Kampung Banggol Jering, Apam di sini, hari ini.

Serbuan jam 2 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas itu turut menemui sepucuk pistol jenis Walther 380 ACP serta 47 peluru hidup.

Polis turut menemui syabu dan Eramin 5 serta merampas Toyota Vellfire, Honda CRV dan Perodua Kelisa.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata ketika serbuan, suspek berusia 39 tahun berada di dapur, manakala isterinya berusia berusia 37 tahun dan anak perempuannya berusia 18 tahun dalam bilik hadapan rumah itu.

Sebahagian barangan yang dirampas syabu, 16 biji erimin 5, sepucuk pistol dan wang tunai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jering, Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Sebahagian barangan yang dirampas syabu, 16 biji erimin 5, sepucuk pistol dan wang tunai dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Jering, Pasir Mas. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Katanya, pemeriksaan itu membawa kepada penemuan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah syabu seberat 0.5 gram dan 16 biji Eramin 5.

“Turut ditemui wang tunai berjumlah RM151,000 dipercayai hasil jualan dadah yang diperoleh dari selatan Thailand,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdullah berkata, berkata soal siasat mendapati pistol itu dibeli suspek sejak 2014 dengan harga hampir RM15,000 bagi tujuan perlindungan diri.

“Suspek juga mengaku terbabit dalam pengedaran dadah sejak tiga tahun lalu di sekitar Pasir Mas dan Kuala Lumpur.

“Bagi pasaran ke Kuala Lumpur, suspek akan ke sana sekali atau dua kali seminggu dengan membawa bersama isteri dan anaknya bagi mengaburi kegiatannya,” katanya.

Beliau berkata, ujian saringan mendapati suspek positif dadah methampetamine dan memiliki satu rekod lampau bersabit kes dadah.

“Isteri dan anaknya negatif dadah dan kita percaya mereka turut terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah yang dilakukan suspek dan mereka ditahan reman enam hari bermula hari ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Berita Harian X