Rabu, 24 Julai 2019 | 11:01pm
Sebahagian pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau menerima rawatan di Hospital Balik Pulau akibat keracunan makanan. - NSTP/Ihsan Pembaca

Lebih 50 pelajar politeknik keracunan makanan

BALIK PULAU: Seramai 55 pelajar semester satu Politeknik Balik Pulau di sini, mengalami keracunan makanan, disyaki berpunca daripada hidangan makanan luar dalam satu program taklimat mengundi, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Dr Afif Bahardin, berkata setakat jam 10 malam tadi, seramai 55 pelajar mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau, selepas mengalami simptom sakit perut.

“Setakat ini, semua 55 pelajar Politeknik diberi rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang, namun dipantau oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Dr Afif berkata, ibu bapa tidak perlu terlalu risau keadaan anak mereka kerana perkara itu di bawah pengawasan pihak hospital dan pengurusan politeknik berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan siasatan terhadap punca berlaku keracunan makanan dan tindakan seterusnya akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

“Saya sudah mengarahkan siasatan untuk mengenal pasti punca dan keputusan siasatan akan diumumkan selepas selesai siasatan,” katanya.

Difahamkan sebelum itu, semua pelajar berkenaan menghadiri program taklimat mengundi yang dianjurkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di politeknik itu yang bermula jam 9 pagi dan berakhir jam 12 tengah hari.

​​Seramai 207 pelajar semester satu menghadiri program berkenaan dan mereka dihidangkan makanan nasi ayam merah, telur bersama sayur kubis jam 11 pagi sebagai makanan tengah hari.

Bagaimanapun, puluhan pelajar mengadu sakit perut kira-kira jam 4 petang dan mereka dibawa kenderaan jabatan politeknik dengan ditemani pensyarah untuk mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau secara berperingkat.

Tinjauan di Hospital Balik Pulau mendapati semua pelajar politeknik itu yang menerima rawatan, sudah dibenarkan pulang balik. - BERNAMA

585 dibaca
Berita Harian X