Jumaat, 26 Julai 2019 | 1:15pm
DUA warga Indonesia, Supinah, 43 (belakang) dan Syahriandi, 31 (depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan membawa dan melindungi pendatang asing tanpa Izin (PATI), awal bulan ini. - Foto Saddam Yusoff
DUA warga Indonesia, Supinah, 43 (belakang) dan Syahriandi, 31 (depan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan membawa dan melindungi pendatang asing tanpa Izin (PATI), awal bulan ini. - Foto Saddam Yusoff

2 warga Indonesia didakwa lindungi, angkut migran

KLANG: Seorang wanita Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan melindungi 20 migran yang diseludup di Sekinchan, awal bulan ini.

Tertuduh, Supinah, 43, didakwa bersama-sama seorang lagi masih bebas, melindungi 20 migran berusia antara 23 hingga 53 tahun yang diseludup di sebuah rumah di Tali Air 10, Kampung Tengah Pasir Panjang, Sekinchan, pada jam 3.45 pagi 3 Julai lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rakan senegaranya, Syahriandi, 31, turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan mengangkut migran didakwa diseludup seorang lelaki warga Indonesia, Ridho Kurniawan, 53.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di alamat sama pada jam 2 petang 2 Julai lalu mengikut Seksyen 26J akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syahriandi boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM250,000.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datin M Kunasundary, pagi tadi.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, memohon satu tarikh baharu untuk pengurusan kes sebelum ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Kunasundary kemudian menetapkan 8 Ogos depan sebagai tarikh sebutan untuk pengurusan kes.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X