Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:10pm
Anggota polis mengangkat jenazah Ramli Muda yang ditemui di Pengkalan, Kuala Kemaman. - NSTP/Rosli Ilham
Anggota polis mengangkat jenazah Ramli Muda yang ditemui di Pengkalan, Kuala Kemaman. - NSTP/Rosli Ilham

Hasrat tangkap ketam tidak kesampaian

CHUKAI: Kebimbangan seorang anak yang gagal menghubungi ayahnya terjawab selepas lelaki itu ditemui mati dalam sebuah bot gentian kaca di kawasan Sungai Pengkalan Barang, Kuala Kemaman, di sini semalam.

Mayat Ramli Muda, 60, dari Kampung Mak Lagam ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam botnya di tepi sungai berkenaan kira-kira jam 11.10 malam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah, berkata mangsa dikatakan keluar memasang bubu untuk menangkap ketam.

Beliau berkata, mangsa sebelum itu dihantar oleh anaknya ke Kampung Geliga Pak Akob untuk keluar menangkap ketam kira-kira jam 12 tengah hari.

“Bagaimanapun, mangsa sehingga jam 10 malam, mangsa tidak pulang ke rumah selain tidak menjawab panggilan telefon menyebabkan anak perempuan mangsa datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk membuat laporan,” katanya.

Mohd Haki berkata, IPD Kemaman bersama anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kemaman menjalankan operasi SAR dengan bantuan komuniti nelayan setempat.

“Operasi SAR bertumpu di sekitar Sungai Pengkalan Barang, Kuala Kemaman sebelum mayat mangsa ditemui di dalam botnya di tepi sungai berkenaan bersama beberapa bubu ketam,” katanya.

Menurut Mohd Haki, siasatan mendapati mangsa sebelum ini menghidap penyakit jantung dan sering mendapat rawatan di Hospital Kemaman.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X