Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:20pm
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor. - NSTP/Shahnaz Fazlie Shahrizal

Suami isteri tidak sempat joli hasil curi

KEPALA BATAS: Sepasang suami isteri hanya mampu ‘berputih mata’ apabila tidak sempat menikmati hasil curi mereka selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah inap desa di Kulim, Kedah semalam.

Pasangan berusia 26 tahun dan 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan pegawai anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata serbuan itu susulan laporan polis dibuat pemilik sebuah kedai emas Korea dan telefon bimbit baru-baru ini.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, sepasukan polis menggempur inap desa yang disewa pasangan itu. Polis turut merampas pelbagai barangan curi yang tidak sempat dijual mereka. Antaranya pelbagai jenis barangan emas Korea, jam tangan, telefon bimbit dan sistem pembesar suara.

“Turut dirampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan pasangan terbabit untuk memecah masuk kedai dan premis perniagaan di sekitar daerah ini,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Noorzainy berkata, soal siasat terhadap pasangan berkenaan mendapati mereka berdua mengaku melakukan kegiatan jenayah itu sejak dua bulan lalu.

“Berdasarkan modus operandi digunakan, mereka dipercayai melakukan jenayah itu pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa dan penduduk setempat.

“Kemudian hasil yang dicuri itu dibawa ke inap desa di Kulim, Kedah sebelum mereka mencari pembelinya. Namun, disebabkan barangan itu didapati kurang bernilai, ia menyebabkan proses menjualnya agak perlahan,” katanya.

Noorzainy berkata, kedua-dua suspek mula menyewa inap desa itu sejak April lalu dan sering bertukar-tukar bilik bagi menyimpan barangan curi untuk mengelakkan perbuatan mereka dikesan.

Katanya, motosikal dan kesemua barangan curi yang dianggarkan bernilai sekitar RM30,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

“Pasangan suami isteri itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 1 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

488 dibaca
Berita Harian X