Jumaat, 26 Julai 2019 | 6:59pm
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi. - Foto NSTP
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi. - Foto NSTP

Najwan Halimi sahkan beri keterangan isu video lucah

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Najwan Halimi, mengesahkan dirinya dipanggil ke Bukit Aman Isnin lalu berhubung penyebaran video lucah dikaitkan dengan seorang menteri.

Katanya, beliau memberikan keterangan kira-kira sejam setengah bagi membantu siasatan tetapi enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu ketika ditemui pemberita pada Program Jualan Terus Dari Ladang anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor, hari ini.

“Perkara ini dalam siasatan polis dan keterangan saya sudah diambil, polis minta saya datang untuk membantu siasatan mereka dan saya berikan kerjasama penuh.

“Jika ada keperluan untuk memanggil saya lagi, saya (bersikap) terbuka,” katanya.

Najwan berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan polis memintanya hadir memberi keterangan.

Katanya, beliau melihat isu berkenaan lebih kepada mainan politik di media sosial selain ‘makanan’ untuk memecahkan kerjasama PKR.

“Saya serahkan semuanya kepada polis,” katanya.

Isnin lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, mengesahkan sudah memanggil seorang ADUN di Selangor berusia 34 tahun.

Sehingga kini, beberapa individu sudah ditahan dan direman termasuk Haziq Abdullah Abdul Aziz dan Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Berita Harian X