Jumaat, 26 Julai 2019 | 9:16pm
Lelaki warga Filipina yang ditahan bersama dadah dalam satu operasi yang dijalankan anggota polis di Kampung Damai Satu. - NSTP/Ihsan PDRM
Lelaki warga Filipina yang ditahan bersama dadah dalam satu operasi yang dijalankan anggota polis di Kampung Damai Satu. - NSTP/Ihsan PDRM

Tokan dadah warga Filipina kena cekup

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Filipina ditahan bersama bekalan dadah dalam serbuan di Kampung Damai Satu, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, suspek berusia 48 tahun dicekup bersama syabu seberat 5.76 gram dipercayai untuk edaran setempat.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata bertindak atas maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan serbuan di rumah didiami suspek.

Dadah disyaki jenis Syabu yang dirampas daripada seorang lelaki warga Filipina. - NSTP/Ihsan PDRM
Dadah disyaki jenis Syabu yang dirampas daripada seorang lelaki warga Filipina. - NSTP/Ihsan PDRM

Katanya, setibanya di lokasi, pintu rumah suspek di dapati dalam keadaan terbuka dan polis terus masuk memperkenalkan diri kepada suspek.

“Ketika serbuan, suspek sedang duduk seorang diri di bahagian ruang tamu. Polis kemudiannya melakukan pemeriksaan pada tubuh badan suspek.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui enam paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah syabu seberat 5.75 gram di poket seluar suspek,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini

Nasri berkata, polis turut menemui lapan gulung kertas timah dan satu penyedut minuman warna merah jambu yang diubahsuai dipercayai untuk menagih dadah.

“Suspek dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut. Suspek turut didapati positif dadah dan memiliki rekod lampau berkaitan dadah,”katanya.

Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan maksimum lima sebatan.

Berita Harian X