Ahad, 28 Julai 2019 | 10:10am
AHMAD Safiuddin Ahmad Razak dan isteri Nurul Erwani Zaidi bersama anak mereka Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin selamat tiba di KLIA. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Sejurus tiba, Ainul Mardhiah dibawa menaiki ambulans terus ke HKL untuk rawatan susulan dan pemantauan. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Ainul Mardhiah bersama bapa dan ibunya tiba di KLIA pada jam 7.15 pagi tadi menaiki penerbangan Malaysia Airlines, MH0003. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Alhamdulillah, Ainul Mardhiah sihat - Bapa

SEPANG: “Alhamdulillah, Ainul sihat. Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan. Alhamdulillah, kami selamat sampai.”

Demikian kata Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, bapa kepada Ainul Mardhiah, bayi berusia 11 bulan yang selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di mulutnya di London.

Ahmad Safiuddin yang ditemui pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, pagi ini, berkata bayinya itu dalam keadaan baik sepanjang 12 jam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow, London, ke Malaysia.

“Alhamdulillah, keadaan semua okey, kami selamat sampai dan tiada sebarang masalah ketika dalam penerbangan.

“Terima kasih kepada semua yang menunggu di sini (KLIA). Terima kasih juga kepada rakyat Malaysia yang menanti dan mendoakan,” katanya.

Sejurus tiba, Ainul Mardhiah dibawa menaiki ambulans terus ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan dan pemantauan.

Bayi terbabit yang sebelum itu tidur dalam kereta sorong dilihat mencelikkan matanya sebaik sahaja dibawa masuk ke dalam ambulans.

Ainul Mardhiah bersama bapa dan ibunya, Nurul Erwani Zaidi, 23, tiba di KLIA pada jam 7.15 pagi tadi menaiki penerbangan Malaysia Airlines, MH0003.

Dalam penerbangan itu, mereka ditemani doktor sukarelawan dari Malaysia yang juga Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Penjagaan Kritikal Hospital Pakar Avisena, Kol (B) Datuk Dr Jaseemudeen Abu Baker, serta Perunding Anaesthesiologist dan Pakar Perubatan Penjagaan Kritikal Pusat Perubatan Subang Jaya, Dr Gunalan Arumugam.

Ainul Mardhiah dibawa ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser ‘Germ Cell Tumor’ di mulut.

Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street.

Berita Harian X