Ahad, 28 Julai 2019 | 12:46pm
LELAKI warga Bangladesh berusia 32 tahun (tengah) diiringi anggota polis direman empat hari bagi membantu siasatan kes mencabul kehormatan seorang wanita ketika menjalani Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) di Mahkamah Ayer Keroh. - Foto Nurul Fhatihah Zakinan

Suspek cabul juru X-ray ditahan

MELAKA: Pekerja kilang warga Bangladesh ditahan berhubung kes cabul juru X-ray wanita ketika menjalani Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) di sebuah klinik swasta di Merlimau, Jasin, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris, berkata suspek berusia 32 tahun itu ditahan di perkarangan Balai Polis Merlimau, kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Katanya, tangkapan dibuat anggota dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan D11 ke perkarangan Balai Polis Merlimau dan menahan suspek yang dibawa majikan.

“Suspek yang bekerja di sebuah kilang di sini bagaimanapun mengaku tidak terbabit dalam kes,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Nor Yhazid berkata, suspek direman empat hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

NSTP minggu melaporkan lalu, polis menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun berasal dari Sarawak yang bekerja sebagai juru X-ray di sebuah poliklinik di Taman Muhibah, Merlimau, mengenai kejadian itu.

Berita Harian X