Isnin, 29 Julai 2019 | 2:21pm
PENGERUSI Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon (dua dari kanan) ketika ditemui dalam Ops Bersepadu Kilang Haram diadakan di sekitar Pasir Gudang, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Kilang haram proses plastik kitar semula dikesan di Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Sebuah kilang memproses plastik kitar semula dikesan beroperasi secara haram di kawasan perindustrian Taman Pasir Putih, dekat sini, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon, berkata siasatan awal oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kilang berkenaan dipercayai memproses plastik diimport dari United Kingdom dan Ireland.

Beliau berkata, premis itu kali pertama diserbu dan didapati tiada dalam senarai lesen sah untuk beroperasi, selain tidak menolak kemungkinan turut menyumbang pencemaran alam sekitar di Pasir Gudang.

“Mungkin (ada kaitan dengan pencemaran udara di Pasir Gudang). Setakat ini, kita masih tidak dapat mengesan pemilik premis, namun akan mengambil pendekatan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kilang itu dihentikan operasi untuk sementara waktu, selain kerajaan negeri akan memaklumkan kepada kementerian supaya menyekat punca import sisa terbabit.

“Ini serbuan kali pertama di premis itu. Berapa lama ia sudah operasi dan sisa tan yang ada di dalam premis itu, masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media selepas Ops Bersepadu Kilang Haram diadakan di sekitar Pasir Gudang, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAS Johor, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.

Mengulas lanjut, Chen Choon berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan sisa plastik terbabit akan dihantar semula ke negara asal mengikut saluran betul.

“Kita akan menghantar balik sisa plastik yang dikesan tidak mematuhi undang-undang Malaysia ke negara asal, manakala laluan sisa terbabit dibawa masuk akan disiasat Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal,” katanya.

Dalam operasi hari ini, sebanyak tiga premis dikenakan tindakan berikutan kesalahan tiada lesen daripada JAS dan beroperasi di tanah kerajaan, manakala 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Bangladesh, Indonesia dan China turut ditahan.

Beliau berkata, operasi itu membabitkan kekuatan lebih 60 anggota daripada pelbagai agensi termasuk JAS, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Jabatan Imigresen, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha pemantauan berterusan bagi memastikan pencemaran udara tidak berulang di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata, hingga kini, sebanyak 71 kilang tiada lesen dikenal pasti beroperasi di Pasir Gudang, dengan lapan daripadanya sudah dikenakan tindakan mahkamah, 46 diberi notis peringatan, tiga disita dan dua diarahkan tutup.

Katanya, 18 premis yang tiada lesen juga didapati beroperasi di tanah kerajaan.

214 dibaca
Berita Harian X