Isnin, 29 Julai 2019 | 5:25pm
KETUA Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jerantut, Asisten Superintendan Fairus Azma Fauzi menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Jerantut, hari ini. - Foto Roselan Ab Malek
KETUA Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jerantut, Asisten Superintendan Fairus Azma Fauzi menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di IPD Jerantut, hari ini. - Foto Roselan Ab Malek

Tokan dadah terjun Sungai Tembeling

JERANTUT: Seorang tokan dadah sanggup terjun ke Sungai Tembeling dipercayai akibat panik selepas lubuk aktiviti pengedaran dadah berhampiran sungai itu diserbu polis, pagi semalam.

Suspek berusia 32 tahun itu dikatakan bertindak demikian selepas menyedari kehadiran sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut di kawasan terbabit kira-kira jam 7 pagi.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jerantut, Asisten Superintendan Fairus Azma Fauzi, berkata suspek menggunakan rakit di kawasan sungai itu bagi menjalankan aktiviti mengedar dadah untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Pegawai dan anggota kami berjaya menahan suspek walaupun dia cuba meloloskan diri dengan terjun ke sungai berkenaan.

“Pemeriksaan dijalankan terhadap suspek membawa kepada penemuan 2,740 gram dadah jenis heroin dan 26.06 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM6,450.

“Ujian air kencing dijalankan turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam sidang media di IPD Jerantut, di sini, hari ini.

Fairus Azma berkata, suspek bekerja sebagai pengusaha bot pelancong dan dipercayai sudah aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah menggunakan rakit sejak enam bulan lalu.

Katanya, semakan pihaknya juga mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan kes penyalahgunaan dadah.

Berita Harian X