X
Isnin, 29 Julai 2019 | 6:28pm
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis menunjukkan air ketum yang dirampas pada sidang media di IPD Jerantut, hari ini. - Foto Roselan Ab Malek
TIMBALAN Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis menunjukkan air ketum yang dirampas pada sidang media di IPD Jerantut, hari ini. - Foto Roselan Ab Malek

2 buruh diberkas proses air ketum belakang rumah

JERANTUT: Kegiatan dua lelaki menjadikan bahagian belakang rumah mereka di FELDA Kota Gelanggi, dekat sini, sebagai lokasi memproses air ketum terbongkar hasil serbuan sepasukan pegawai dan anggota polis, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Azman Mat Kamis berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut melalui Ops Sarang, hasil intipan dan maklumat awam.

“Serbuan dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi dan kita berjaya menahan suspek yang bekerja sebagai buruh dan berusia 28 serta 40 tahun di kediaman berkenaan.

“Pemeriksaan dijalankan di rumah itu membawa kepada penemuan 88 bungkus air ketum dan pelbagai peralatan lain dianggarkan bernilai RM970... kita tidak menolak kemungkinan, peralatan dirampas dalam serbuan itu digunakan suspek untuk memproses air ketum sebelum dijual,” katanya dalam sidang media di IPD Jerantut, di sini, hari ini.

Azman berkata, soal siasat dijalankan terhadap suspek mendapati air ketum itu diproses untuk pasaran sekitar FELDA Kota Gelanggi, FELDA Padang Piol dan FELDA Sungai Tekam, selain turut dipasarkan ke Kuala Tahan.

Katanya, setiap bungkusan air ketum dijual pada harga RM10 dan suspek dipercayai menjalankan aktiviti itu di belakang rumah mereka sejak lima bulan lalu.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian air kencing juga mendapati keduanya negatif dadah. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Sementara itu, Azman berkata, seramai 28 lelaki berusia 25 hingga 48 tahun ditahan di pelbagai lokasi kerana pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah sepanjang Ops Sarang yang bermula semalam.

Katanya, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Jerantut berjaya merampas dadah jenis heroin dan syabu dianggarkan bernilai RM7,620 dalam operasi itu.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X