Selasa, 30 Julai 2019 | 12:47pm

Bapa durjana rogol anak diburu

KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki yang disyaki merogol anak gadisnya sejak remaja itu berusia tujuh tahun di Taman Minang Ria, Batu 9 Cheras di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata perkara itu terbongkar selepas mangsa yang kini berusia 13 tahun membuat laporan polis, Khamis lalu.

Katanya, perbuatan suspek terbongkar apabila mangsa yang tidak tahan dengan perbuatan bapa kandungnya, mengadukan perkara itu kepada seorang gurunya.

“Susulan itu, mangsa kemudian membuat satu laporan polis kira-kira jam 5.30 petang Khamis lalu mendakwa bapa kandungnya itu sering memperkosanya sejak dia berusia tujuh tahun.

“Mangsa mendakwa pada mulanya suspek hanya bertindak meraba keseluruhan anggota badannya sebelum suspek dikatakan makin berani dengan merogol mangsa sebanyak tiga kali seminggu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa mendakwa diugut oleh suspek supaya berdiam diri dan sekiranya dia membocorkan perkara itu kepada ibunya , suspek mengugut akan memukul ibu mangsa.

“Mangsa sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan dan pihak hospital mengesahkan terdapat kesan koyakan pada bahagian ‘hymen’ (selaput dara) mangsa selain terdapat kesan lecet.

“Mangsa kini ditempatkan di hospital untuk rawatan lanjut,” kata Ahmad Dzaffir.

Ekoran laporan polis oleh mangsa, katanya suspek melarikan diri dan polis kini sedang menjalakan gerakan mengesan suspek.

“Justeru kita minta orang yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang berusia 39 tahun supaya tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan iaitu sumbang mahram.

Katanya orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pihak polis di balai-balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Noorlaila Kairudin di talian 019-2299906.

Berita Harian X