Rabu, 31 Julai 2019 | 9:32am
Dadah dan wang tunai yang dirampas polis dalam serbuan Ops Bersepadu 'Ice Breaker' di Taman Nilam, Langkawi. - Ihsan PDRM

Tokan dadah tak sempat lari

LANGKAWI: Cubaan tokan dadah melarikan diri ketika Ops Bersepadu ‘Ice Breaker’ di Taman Nilam di sini, gagal apabila suspek ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu dan heroin, semalam.

Dalam operasi jam 12.10 tengah malam semalam, lelaki berusia 20 tahun itu cuba melolos diri selepas pegawai dan anggota dari Balai Polis Kuah menyerbu sebuah rumah yang dipercayai menjadi lokasi pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata ketika pemeriksaan, suspek yang juga penganggur bertindak agresif dan cuba melarikan diri.

“Bagaimanapun, suspek ditahan sebelum hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik di rumah itu menemui dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 90 gram.

“Turut dirampas sembilan paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 45 gram, selain alat penimbang elektronik dan wang tunai RM130,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, pemeriksaan fizikal suspek turut menemui kesan luka di betis dan lutut kaki kiri, bagaimanapun diakui oleh suspek kecederaan itu disebabkan kemalangan.

“Siasatan awal pula mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 3(1), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada tahun 2015.

“Suspek juga pernah ditahan mengikut Seksyen 3(1), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) pada 2017,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Berita Harian X