Rabu, 31 Julai 2019 | 12:22pm

Rompak barang kemas RM700,000

KAJANG: Barang kemas dianggarkan bernilai RM700,000 dilarikan empat lelaki bersenjatakan pistol dan tukul besi dalam kejadian rompakan di sebuah kedai emas dalam pasar raya di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd Sabri Abdullah, berkata kejadian dimaklumkan orang awam yang menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 8.44 malam.

Katanya, ketika kejadian terdapat tiga pekerja dan enam pelanggan, termasuk seorang kanak-kanak di dalam premis berkenaan, namun semua mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mendapati, tiga suspek bersenjatakan tukul besi masuk ke dalam premis, manakala seorang lagi berkawal di hadapan premis dengan memegang objek menyerupai pistol.

“Terdapat seorang pengawal (tidak bersenjata) ditugaskan di situ tetapi tidak mampu berbuat apa-apa kerana ketakutan berikutan suspek mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya.

“Kejadian berlaku dalam tempoh kurang lima minit sebelum mereka melarikan barang kemas berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Katanya, berdasarkan siasatan suspek menggunakan pintu utama untuk masuk dan keluar dari pasar raya itu.

Mohd Sabri berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata dan usaha memburu semua suspek sedang giat dilakukan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Redzuan Mat Salleh di talian 019-271 4100.

Berita Harian X