Rabu, 31 Julai 2019 | 3:01pm

Polis tahan pasangan kekasih, rampas dadah RM212,580

KEPALA BATAS: Polis menahan sepasang kekasih disyaki pengedar dadah serta merampas sejumlah bahan terlarang itu bernilai RM212,580 dalam satu serbuan di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata pasangan berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah dekat Permatang Sintok hasil maklumat awam serta risikan dijalankan.

Ketika serbuan, beliau berkata, hanya pasangan kekasih itu, termasuk lelaki baru dibebaskan dari penjara pada awal tahun ini, berada di rumah terbabit.

“Pemeriksaan polis di rumah itu menemui sejumlah dadah jenis syabu seberat lebih 1.35 kilogram (kg) dan 660 biji pil Yaba bernilai RM212,580.

“Polis juga merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, pasangan kekasih itu dipercayai melakukan kegiatan terbabit selepas suspek lelaki dibebaskan dari penjara pada Januari lalu.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai buruh, selain masing-masing ada empat rekod lampau berkaitan kes dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.

Sementara itu, Noorzainy berkata, pihaknya berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah apabila menahan seorang lelaki di tempat parkir kereta dekat Flat Taman Desa Sena, di sini, Khamis lalu.

“Suspek berusia 36 tahun yang dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak setahun lalu, ditahan bersama dadah disyaki syabu seberat 82 gram (g) bernilai kira-kira RM12,300.

“Suspek sudah berkahwin itu memiliki 11 rekod lampau berkaitan kes dadah dan turut positif ujian saringan air kencing,” katanya.

438 dibaca
Noorzainy (tengah) bersama pegawainya menunjukkan dadah jenis heroin dan syabu yang dirampas bernilai RM212,580 pada sidang media di IPD Seberang Perai Utara, Kepala Batas. - NSTP/Rosli Ahmad
Berita Harian X