Khamis, 1 Ogos 2019 | 9:30pm
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Oma bergambar bersama orang ramai pada Majlis Penyerahan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) OSH 2018 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Nurul Shafine Jemenon
TIMBALAN Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Oma bergambar bersama orang ramai pada Majlis Penyerahan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) OSH 2018 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Nurul Shafine Jemenon

JTK siasat dakwaan kilang larang pekerja solat

PETALING JAYA: Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia, sedang menyiasat dakwaan sebuah kilang di Taman Perindustrian Sungai Kapar Indah, Klang, melarang pekerjanya yang beragama Islam untuk menunaikan solat pada waktu kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar, berkata siasatan perlu berikutan ada pelbagai perkara ditularkan kini dan ia dikhuatiri mungkin bertujuan mencetuskan ketegangan.

“Bagi pihak kami menyiasat dulu dan jangan membuat sebarang spekulasi sendiri yang boleh menimbulkan kekecohan.

“Jika ia (dakwaan) sahih, tindakan tegas akan diambil terhadap majikan terbabit mengikut Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955.

“Menurut akta itu, pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan sembahyang, iaitu sekurang-kurang 20 minit bagi setiap waktu solat dan sekurang-kurang satu jam 30 minit bagi solat Jumaat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) OSH 2018, di sini, hari ini.

Sementara itu, Mahfuz mencadangkan majikan melantik pegawai khas memantau kesihatan pekerja bagi mencegah masalah penyakit tidak berjangkit dan penyakit berjangkit daripada terus menular.

“Majikan perlu memastikan pekerja menjalani gaya hidup sihat, selain persekitaran tempat kerja selamat dan tidak mendedahkan pekerja kepada penyakit berjangkit.

“Jika ada pekerja tidak sihat, benarkan mereka mendapat rawatan hingga pulih supaya prestasi kerja tidak terjejas,” katanya.

Di Klang, pihak Hond Tat Industries Sdn Bhd menafikan syarikat itu ada mengeluarkan memo melarang pekerjanya yang beragama Islam untuk menunaikan solat pada waktu kerja.

Pengurus operasi syarikat itu yang enggan dikenali mendakwa, syarikat berkenaan tidak pernah menghalang kakitangan beragama Islam untuk menunaikan solat, sekali gus menegaskan memo tular itu adalah palsu.

“Ini perbuatan sabotaj. Tidak ada tandatangan pada memo itu dan tiada kelulusan daripada pengurusan tertinggi syarikat. Sesiapa saja boleh mengambil kepala surat dan mencetaknya.

“Kami akan membuat laporan polis mengenai perkara ini secepat mungkin. Tiada kakitangan Muslim yang dilarang menunaikan solat pada waktu kerja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau mendakwa perbuatan tidak bertanggungjawab itu berkemungkinan dilakukan kakitangan yang tidak berpuas hati.

Berdasarkan memo bertarikh 30 Julai lalu yang ditularkan, syarikat itu didakwa melarang kakitangannya menunaikan solat pada waktu kerja kecuali masa makan tengah hari.

Menurut memo itu lagi, jika didapati melanggar arahan, pekerja terbabit akan dikenakan denda RM500 untuk setiap kali kesalahan.

Berita Harian X