Khamis, 1 Ogos 2019 | 11:53pm

Polis tahan suspek samun pemandu e-hailing

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki di sebuah rumah di Bandar Tun Razak, di sini, selepas disyaki terbabit dalam kes samun seorang pemandu kenderaan e-hailing berhampiran Pusat Komuniti Komersil Bandar Tun Razak, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam Sabtu lalu, pemandu e-hailing berusia 31 tahun itu terpaksa menyerahkan wang tunai RM200, dua telefon bimbit dan pelbagai dokumen peribadi selepas cermin keretanya dipecahkan serta diacu pisau oleh dua lelaki bermotosikal.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon, berkata susulan kejadian itu, polis menjalankan siasatan dan berjaya mengesan suspek.

“Pada jam 2.30 petang semalam, Ketua Polis Balai Sungai Besi bersama anggota ke sebuah rumah di Bandar Tun Razak, dan memeriksa tiga lelaki sedang mencuci motosikal.

“Pemeriksaan mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang di kawasan Salak Selatan Baru. Pemeriksaan lanjut mendapati dua lagi lelaki berada dalam rumah, semuanya berusia antara 24 hingga 31 tahun dan kemudian ditahan.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah menemui enam telefon bimbit, beg milik mangsa, dua parang, dokumen peribadi mangsa dan wang tunai berjumlah RM1,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, pemeriksaan terhadap semua suspek mendapati empat daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah, samun dan curi motosikal.

“Semua suspek didapati positif penggunaan dadah menerusi ujian air kencing dan direman tujuh hari bermula hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395, 397 dan 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan diteruskan termasuk pembabitan suspek dengan kes samun atau ragut lain yang dilaporkan sebelum ini,” katanya.

Berita Harian X