Sabtu, 3 Ogos 2019 | 1:56am

Warga UK disamun depan rumah

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga United Kingdom (UK) kerugian RM2,000 selepas disamun penjenayah bersenjatakan pisau ketika keluar dari kenderaan e-hailing di hadapan rumahnya di Taman United di sini, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe, berkata dalam kejadian jam 8 malam itu, mangsa berusia 64 tahun dan bertaraf pemastautin tetap, mahu membayar tambang sebelum didatangi suspek dari arah belakang dan mengacukan pisau.

Katanya, suspek kemudian menarik dompet mangsa dan melarikan diri ke arah motosikal yang diletakkan berhampiran.

“Mangsa sempat menolak motosikal suspek yang kemudiannya terjatuh tetapi lelaki itu melarikan diri ke arah Jalan Sepakat.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan tetapi dompetnya yang mengandungi wang tunai RM2,000 serta kad bank dilarikan lelaki terbabit,” katanya malam ini.

Arifai berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Petaling bergegas ke lokasi sejurus menerima maklumat dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave yang ditinggalkan suspek.

Semakan ke atas nombor plat motosikal itu mendapati ia adalah nombor palsu, tetapi nombor asalnya sudah dikenal pasti.

“Kejadian itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek.

Berita Harian X