Sabtu, 3 Ogos 2019 | 1:10pm
Mohd Aiman Syukur menunjuk gambar ibu Habibuneesa Mohamed Ismail, yang dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India pada 29 Jun lalu. - Foto Rosman Shamsudin

PDRM, INTERPOL, Polis India bekerjasama mencari Habibuneesa

BEHRANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menghubungi Polis India untuk menyegerakan tindakan mencari dan menyelamat Habibuneesa Mohamed Ismail, 36, yang dilaporkan hilang di Tamil Nadu, India pada 29 Jun lalu.

Ketua Perhubungan Antarabangsa, Urus Setia Ketua Polis Negara, Bukit Aman, Datuk Goh Boon Keng, berkata perhubungan itu dilakukan melalui Polis Antarabangsa (INTERPOL) selain turut memaklumkan kes itu kepada Kementerian Luar.

“Setakat ini, pihak INTERPOL New Delhi hanya dapat mengesahkan Habibuneesa Mohamed Ismail tiba di India pada 24 Jun 2019, namun tiada rekod beliau keluar dari India.

“Usaha untuk mengesan beliau sedang giat dijalankan oleh agensi-agensi yang berkaitan di India.

Sebarang laporan mengenai perkembangan kes ini akan segera dipanjangkan kepada pihak berkenaan,” katanya.

Boon Keng berkata demikian dalam surat rasmi bertarikh 31 Julai 2019 yang dihantar melalui e-mel kepada Presiden Penaja Parti Rakyat India Malaysia (PRIM), Dr S Santharasekaran, di sini semalam.

Salinan surat itu turut dihantar kepada suami Habibuneesa iaitu Mahmud Rahman Shariff, 47, dan Penolong Pengarah NCB/INTERPOL Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Dr Santharasekaran berkata pihaknya mengucapkan terima kasih atas komitmen dan kesungguhan PDRM serta Kementerian Luar yang bekerjasama dengan pihak polis di India menerusi INTERPOL bagi menyelesaikan kes itu.

Katanya, setiap hari Mahmud Rahman yang juga seorang tukang paip, berjumpa beliau untuk mengetahui perkembangan isterinya itu kerana kedua-dua anaknya kini asyik bertanyakan mengenai ibu mereka.

Beliau berkata pihaknya bersimpati dan akan cuba membantu Mahmud Rahman sedaya upaya sehingga isterinya dapat ditemui oleh pihak polis India.

Pada 30 Julai lalu, BH menyiarkan rayuan anak Habibuneesa iaitu Mohd Aiman Syukur Mahmud yang berusia sembilan tahun, meminta bantuan mana-mana pihak untuk mencari ibu mereka kerana bimbangkan keselamatan dan rindu dengan mangsa.

Mohd Aiman Syukur yang bersekolah Tahun Tiga di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Phin Min, Behrang Stesen, dekat sini, berkata sejak ibunya pergi ke India dan kemudian dilaporkan hilang, dia dan adiknya, Mahnas Hibatullah Syazana, 4, diuruskan oleh ayahnya.

Habibuneesa disedari hilang ketika berada di rumah saudaranya di Pandaravadai, Papanasam, Tamil Nadu, India, kira-kira jam 3 pagi waktu India pada 29 Jun lalu.

Suri rumah itu pergi ke India bersama ibu saudaranya yang dikenali sebagai Nur Jihan, 38, dan sepupunya, Yunus Shukri, berusia empat tahun, pada 24 Jun lalu sebelum dilaporkan hilang di negara berkenaan lima hari kemudian.

1300 dibaca
Berita Harian X