Sabtu, 3 Ogos 2019 | 1:43pm

Pemilik restoran rentung premis terbakar

KLANG: Seorang pemilik restoran makanan laut di Taman Chi Liung, Pandamaran, di sini, maut selepas restoran miliknya terbakar dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi.

Lim Kim Book, 59, dikatakan sedang tidur ketika kebakaran bermula dan tidak dapat menyelamatkan diri.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Hafisham Mohd Noor, berkata pihaknya difahamkan isteri mangsa yang berusia 60-an berada di dapur ketika kejadian, dan terdengar jeritan suaminya sebelum bergegas ke bilik tidur di restoran itu.

Beliau berkata, wanita itu pergi ke bilik tidur mereka tetapi tidak dapat masuk kerana api sudah marak, sebelum segera menyelamatkan diri.

Katanya, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 pagi sebelum pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang, Andalas dan Kota Raja dengan kekuatan tiga pegawai serta 24 anggota, tiba di tempat kejadian sembilan minit kemudian.

"Mayat mangsa ditemui berhampiran bilik tidur di restoran berkenaan dalam keadaan rentung.

"Mangsa dipercayai tinggal di restoran itu manakala anak-anak mereka tinggal berasingan.

"Kami percaya mangsa terperangkap di bawah runtuhan siling yang terbakar. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, hari ini.

Hafisham berkata, kebakaran di binaan seluas 594.6 meter persegi itu berjaya dikawal kira-kira jam 8.10 pagi dan padam sepenuhnya pada jam 9.15 pagi

Beliau berkata, premis itu terbakar kira-kira 80 peratus dan Bahagian Penyiasatan Kebakaran JBPM Selangor sedang menjalankan siasatan punca kebakaran.

Katanya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca dari bahagian dapur restoran itu yang terletak di hadapan premis.

"Unit anjing pengsan (K9) juga berasa di lokasi untuk membantu siasatan," katanya.

Difahamkan, restoran itu beroperasi pada petang sehingga malam.

KEJADIAN kebakaran sebuah restoran di Taman Chi Liung, hingga menyebabkan seorang warga emas maut, pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
Berita Harian X