Ahad, 4 Ogos 2019 | 11:47am
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa dari ambulans. - Foto NSTP/Ihsan Bomba
Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa dari ambulans. - Foto NSTP/Ihsan Bomba

Pemandu, pesakit maut ambulans terbabas

SLIM RIVER: Pemandu dan pesakit maut apabila ambulans dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 368.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, tiga lagi mangsa cedera termasuk seorang doktor wanita.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.42 pagi membabitkan kenderaan jenis ambulans Hospital Slim River.

Keadaan ambulans terbalik selepas terbabit kemalangan. Foto NSTP/Ihsan Bomba
Keadaan ambulans terbalik selepas terbabit kemalangan. Foto NSTP/Ihsan Bomba

Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh, ambulans itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas hingga melanggar besi pembahagi jalan dan terdapat lima mangsa dalam kenderaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kemalangan itu mengakibatkan pemandu dan pesakit wanita maut di lokasi kejadian.

“Tiga lagi mangsa iaitu doktor, jururawat dan pembantu pemandu cedera dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, bomba mengeluarkan semua mangsa dan menyerahkan mangsa yang maut kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

“Operasi menyelamat tamat sepenuhnya jam 8.17 pagi,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X