Ahad, 4 Ogos 2019 | 1:55pm
Raja Ular Perlis, Muhammad Hafiz Alias, 26, bermain dengan ular jenis tedung selar di tempat kerjanya di Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, sebelum diserang reptilia itu petang semalam. Gambar kanan; Raja Ular Perlis, Muhammad Hafiz Alias, 26 kini dirawat di ICU,Hospital Tunku Fauziah selepas dipatuk ular jenis tedung selar di tempat kerjanya di Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat. - Foto ihsan Pembaca

Raja Ular Perlis cedera diserang tedung selar

KANGAR: ‘Raja Ular Perlis’ yang juga kakitangan Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, di sini cedera selepas dipatuk ular tedung selar ketika sedang memberi makan kepada reptilia itu di tempat kerjanya petang semalam.

Mangsa, Muhammad Hafiz Alias, 26, diserang reptilia itu pada bahagian atas lutut kirinya dan kini sedang menerima rawatan di Unit Pemerhatian Rapi dan Kecemasan (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini.

Pemangku Pengurus Taman Ular dan Reptilia Batu Pahat, Ariffin Baharom, berkata, beliau menerima laporan mengenai kemalangan itu melalui kakitangannya sejurus Muhammad Hafiz diserang ular berkenaan.

“Saya masih menunggu laporan penuh mengenai kemalangan ini dan saya difahamkan kejadian berlaku sekitar jam 3.30 petang ketika dia masuk ke dalam sangkar untuk memberi ular berkenaan makan mengikut jadual.

“Sejurus dipatuk, dia memaklumkan kepada rakan sekerjanya sebelum dihantar ke HTF petang semalam dengan menaiki kenderaan syarikat.

“Sejurus sampai di unit kecemasan, dia pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga dimasukkan ke dalam wad,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ariffin berkata, beliau sudah melawat kakitangannya itu malam tadi dan perkembangan Muhammad Hafiz dilihat semakin positif.

“Semalam dia tidak bergerak langsung sejurus pengsan, namun hari ini dia ada menunjukkan sedikit pergerakan dan kita berharap dia cepat sembuh daripada kemalangan yang menimpanya.

“Ia adalah kejadian kali kedua menimpa Muhammad Hafiz dan saya menyarankan pihak di luar sana tidak terlalu ghairah untuk bermain dengan ular sekiranya mereka tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai reptilia ini,” katanya.

Berita Harian X