Ahad, 4 Ogos 2019 | 5:57pm
Sebahagian rokok yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM). - NSTP/Ihsan PPM

PPM rampas rokok dipercayai seludup bernilai RM80,160

MIRI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 merampas 566 karton rokok bernilai RM80,160 dipercayai hasil penyeludupan, dalam serbuan di sebuah kedai di Jalan Bekenu-Miri, Jumaat lalu.

Pemangku Komander PPM Wilayah 5, Superintendan Abdul Rahman Mat Hassan, berkata dalam serbuan kira-kira jam 11.30 pagi itu, seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga pemilik kedai terbabit, ditahan bagi membantu siasatan.

“Pemilik kedai itu gagal menunjukkan dokumen berkaitan rokok berkenaan dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes itu kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri untuk tindakan lanjut.

“Dengan penangkapan suspek itu, polis percaya dapat menyelesaikan satu lagi cubaan menjual rokok yang tidak mendapat kelulusan kastam.

“Justeru, saya berharap orang ramai terus menjadi mata dan telinga pihak polis untuk mengesan kegiatan penyeludupan barangan yang tidak memiliki cap duti atau tanpa cukai kastam,” katanya.

Orang ramai yang ada maklumat berkaitan diminta menyalurkannya kepada Ibu Pejabat PPM Wilayah 5 Sarawak melalui talian 082-334111.

Berita Harian X