Selasa, 6 Ogos 2019 | 12:41pm
Antara suspek yang ditahan dalam operasi Op Tapis di sekitar daerah Tuaran. - NSTP/Ihsan PDRM
Antara suspek yang ditahan dalam operasi Op Tapis di sekitar daerah Tuaran. - NSTP/Ihsan PDRM

Polis tahan 18 individu berkaitan dadah

TUARAN: Seramai 18 warga tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan pemilikan, pengedaran dan penyalahgunaan dadah dalam operasi Ops Tapis yang dilaksanakan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Operasi bermula Isnin minggu lalu hingga kelmarin, dijalankan oleh pasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Tuaran yang tertumpu di tiga tempat, termasuk dua lokasi panas.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim, berkata operasi dijalankan berdasarkan kepada maklumat orang awam yang membantu polis mengesan suspek di lokasi panas, iaitu di perumahan Taman Telipok Ria dan Taman Perumahan Sri Rugading.

Katanya, satu lagi serbuan dilakukan di Kampung Dungun Timbok menjadikan jumlah suspek ditahan membabitkan seorang disyaki pengedar dadah dan seorang memiliki dadah.

“Tangkapan selebihnya ialah 16 suspek yang didapati positif dadah selepas menjalani saringan awal ujian air kencing.

“Dalam operasi ini, polis turut berjaya merampas dadah jenis syabu dengan berat 15.16 gram yang bernilai RM2,274 mengikut harga semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hamizi berkata, semua yang ditahan berusia 23 tahun sehingga 40 tahun.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 12(2) ADB 1952.

“Pihak polis mengucapkan terima kasih dan memohon kerjasama orang awam untuk terus membantu menyalurkan maklumat kegiatan berkaitan dadah atau jenayah lain, demi kesejahteraan penduduk daerah ini,” katanya.

Berita Harian X