Selasa, 6 Ogos 2019 | 6:57pm
ANGGOTA polis membawa keluar mayat lelaki warga Korea yang ditemui mati tergantung di sebuah kondominium di Jalan Kebajikan, Luyang, Kota Kinabalu, semalam. - Foto ihsan polis
ANGGOTA polis membawa keluar mayat lelaki warga Korea yang ditemui mati tergantung di sebuah kondominium di Jalan Kebajikan, Luyang, Kota Kinabalu, semalam. - Foto ihsan polis

Lelaki Korea ditemui mati tergantung

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Korea ditemui mati tergantung di sebuah kondominium di Jalan Kebajikan, Luyang, di sini semalam.

Mayat lelaki berusia 46 tahun itu ditemui dalam keadaan hampir reput kira-kira jam 7 malam di balkoni rumah berkenaan yang dipercayai disewanya.

Difahamkan, sebelum penemuan mangsa, pengawal keselamatan di kondominium itu menerima aduan daripada jirannya mengenai bau busuk dari rumah mangsa.

Berikutan itu, pengawal keselamatan terbabit melakukan pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa seterusnya bertindak menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati lelaki terbabit meninggal dunia sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang hampir reput.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (QEH) untuk bedah siasat,” katanya.

Habibi berkata, siasatan masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Berita Harian X