Selasa, 6 Ogos 2019 | 9:10pm

Amirul tergelincir dari bangunan - MARA

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa di Sydney, Australia mengesahkan penuntut Malaysia di negara itu, Amirul Ashraff Md Azhar meninggal dunia selepas tergelincir dari bangunan, pagi tadi.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi satu kenyataan berkata, pegawai MARA Luar Negara di Australia bergegas ke tempat kejadian sejurus kejadian dilaporkan untuk tindakan pengecaman.

“Pihak MARA dengan bantuan kedutaan akan berusaha memastikan urusan membawa pulang jenazah dapat dilakukan secepat mungkin selepas proses bedah siasat dilaksanakan yang dijangka akan selesai dalam waktu terdekat.

“MARA akan menguruskan segala urusan membawa pulang jenazah Allahyarham Amirul sehinggalah diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Allahyarham Amirul Ashraff adalah pelajar tahun akhir di University of Technology Sydney dalam bidang Ijazah Kejuruteraan Mekatronik yang juga bekas pelajar Maktab Rendah Sains MARA Langkawi.

“MARA mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Ashraff,” katanya.

Berita Harian X