Rabu, 7 Ogos 2019 | 10:19am
SEBAHAGIAN dadah heroin dan syabu yang dirampas daripada suspek wanita warga Thailand dalam serbuan di sebuah motel di Kampung Kelibang, Langkawi. - Foto ihsan polis

Wanita Thailand ditahan edar dadah

LANGKAWI: Seorang wanita warga Thailand ditahan di sebuah motel di Kampung Kelibang, Kuah, di sini malam tadi selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata suspek berusia 40 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira jam 10 malam, bertindak atas maklumat risikan.

Katanya, suspek yang menyedari kehadiran polis pada mulanya cuba mencampakkan beg miliknya keluar dari bilik, namun berjaya dihalang anggota polis yang sudah mengepung motel berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi dadah jenis heroin seberat 43.3 gram dan satu keratan straw dadah jenis syabu seberat 1.09 gram.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati wanita berasal dari Satun, Thailand itu positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Iqbal berkata, suspek turut mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang pengedar di Alor Setar dengan usaha mengesan lelaki itu sedang dilakukan.

“Semakan mendapati wanita terbabit turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan pernah disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes terbaharu ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya.

Berita Harian X