Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:24pm
DATUK Seri Najib Razak.
DATUK Seri Najib Razak.

Najib gagal rayuan gugur Sri Ram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak gagal buat kali ketiga untuk menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dihadapinya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini menolak permohonan Najib untuk membatalkan kelayakan Sri Ram yang juga bekas hakim Mahkamah Persekutuan daripada mengendalikan kesnya.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan pihak pendakwaan untuk mengemukakan surat perlantikan Sri Ram memandangkan tiada keterangan yang menunjukkan bahawa dokumen itu diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.

Turut bersidang Hakim Tan Sri Azahar Mohamed; Datuk Seri David Wong Dak Wah; Datuk Rohana Yusof; Datuk Mohd Zawawi Salleh; Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Tan Sri Idrus Harun.

Berikutan keputusan itu, Sri Ram akan mengetuai pihak pendakwaan bagi perbicaraan kes 1MDB yang akan bermula pada 19 Ogos hingga 29 Ogos ini dan kemudian bersambung sepanjang September serta Oktober hingga 14 November ini.

Najib diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, manakala Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P Kunyalam bertindak bagi pihak responden.

Pada 7 Mei lalu, Najib gagal dalam cubaan kali keduanya untuk membatalkan kelayakan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam perbicaraan kes 1MDB.

Pada 1 Mac lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah turut menolak permohonan Najib dengan alasan tiada bukti menunjukkan Sri Ram akan berlaku berat sebelah dalam menjalankan tugasnya selaku Timbalan Pendakwa Raya Kanan bagi kes berkenaan.

Hakim itu berkata Najib juga tidak berhak menuntut surat pelantikan Sri Ram serta menolak permohonan Najib untuk menggantung sementara perbicaraan kes itu yang dijadualkan dari 15 April hingga 3 Mei, sementara menunggu rayuan berhubung pembatalan kelayakan Sri Ram.

Pada 20 September 2018, Najib didakwa dengan empat pertuduhan menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan berkenaan di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 2011 dan 2014.

Sebelum ini permohonan penangguhan perbicaraan kes 1MDB Negara gagal sebanyak empat kali di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Berita Harian X