Khamis, 8 Ogos 2019 | 10:20am
KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah.

Polis nafi dakwaan pekerja restoran didera, dikurung

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan dua pekerja restoran warga India kononnya mereka didera dan dikurung oleh majikannya di Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah, berkata hasil siasatan awal mendapati tiada elemen jenayah sebaliknya wujud permasalahan dalaman antara majikan dan pekerja yang berlarutan sejak April lalu.

“Siasatan dilakukan daripada pelbagai aspek membabitkan pihak ketiga yang disyaki terbabit dalam urusan pekerjaan dan kebajikan pekerja berkenaan.

“Pihak Suruhanjaya Tinggi India sudah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan perkembangan terkini mengenainya akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebelum ini, satu klip video berdurasi dua minit 55 saat tular di media sosial memaparkan dua lelaki dipercayai warga India mendakwa didera dan dikurung majikan mereka.

Berita Harian X