Khamis, 8 Ogos 2019 | 12:46pm
DATUK Mohd Nazifuddin Mohd Najib.

LHDN saman anak Najib, tuntut bayar RM37.6 juta cukai pendapatan

KUALA LUMPUR: Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disaman Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menuntutnya membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion, kini anaknya pula diminta membayar RM37.6 juta cukai pendapatan tidak dibayar dari 2011 hingga 2017.

Kerajaan Malaysia selaku plaintif memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu melalui LHDN pada 24 Julai lalu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Mohd Nazifuddin Mohd Najib, 36, sebagai defendan.

Mengikut penyataan tuntutan itu, Kerajaan Malaysia mendakwa Mohd Nazifuddin masih terhutang bagi cukai pendapatan untuk tahun taksiran 2011 hingga 2017 seperti dinyatakan melalui Notis Taksiran bertarikh 15 Mac 2019.

Notis Taksiran itu dihantar secara serahan sendiri kepada defendan pada 18 Mac lalu.

Kerajaan Malaysia mendakwa, disebabkan Mohd Nazifuddin gagal membayar jumlah cukai pendapatan dari tahun 2011 hingga 2017 itu dalam tempoh 30 harı dari tarikh penyampaian Notis Taksiran ditetapkan mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, maka kenaikan cukai 10 peratus dikenakan.

Plaintif berkata, defendan masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan bersama kenaikan 10 peratus yang masih terhutang itu dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan Seksyen 103 itu menjadikan kenaikan cukai sebanyak lima peratus lagi dikenakan terhadap defendan.

Kerajaan Malaysia mendakwa, sehingga kini defendan masih gagal membayar jumlah cukai pendapatan masih terhutang termasuk kenaikan yang semuanya berjumlah RM37,644,810.73

Jumlah itu ialah RM1,780,837.70 (2011), RM6,604,851.81 (2012), RM6,279,834.41 (2013), RM4,360,278.87 (2014), RM2,074,950.76 (2015), RM2,623,943.76 (2016) dan RM13,920,113.42 (2017).

Susulan itu, Kerajaan Malaysia menuntut daripada defendan jumlah RM37,644,810.73, faedah atas jumlah RM37,644,810.73 pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh realisasi, kos dan lain-lain relif disifatkan sesuai oleh mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini secara ‘e-review’ di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Normaizan Rahim iaitu pihak yang terbabit mengendalikan kes secara dalam talian tanpa perlu hadir ke mahkamah.

Pada 25 Jun lalu, Kerajaan Malaysia melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib menuntutnya membayar cukai pendapatan RM1.69 bilion bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 30 Ogos di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nurliana Ismail.

Pada 24 Julai lalu, LHDN juga memfailkan saman terhadap bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi menuntutnya membayar wang RM57.17 juta terhadap cukai pendapatan tidak dibayar sejak 2012 hingga 2017.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini secara e-review di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli. – BERNAMA

Berita Harian X