Khamis, 8 Ogos 2019 | 2:46pm
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Masjid adakan solat hajat lepas solat Jumaat esok

SEREMBAN: Masjid Kariah Pantai di sini, akan mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat esok, bagi memohon supaya dipermudahkan pencarian Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai dekat sini, sejak Ahad lalu.

Imam masjid itu, Kahar Sukin, berkata walaupun tiada permintaan daripada mana-mana pihak, pihaknya mengambil inisiatif untuk mengadakan solat itu.

“Solat hajat ini sebagai ikhtiar yang boleh dilakukan oleh pihak masjid dalam usaha membantu pihak keselamatan mencari remaja itu.

“Walaupun mangsa berlainan agama, kita masih boleh melaksanakan solat itu atas dasar kemanusiaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Pantai di sini, hari ini.

Kahar yang sudah 12 tahun menjadi imam berkata, pada hari pertama remaja itu hilang dia sendiri dijemput ke resort itu untuk melaungkan azan mencari mangsa.

“Saya melaungkan azan di empat penjuru chalet didiami keluarga itu selepas solat Asar pada Ahad lalu,” katanya.

Anak jati Pantai itu berkata, ini dipercayai kejadian pertama kes orang hilang dalam tempoh lama dan berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun katanya, kes pendaki hilang atau sesat di Gunung Berembun yang terletak berhampiran resort itu sering berlaku tetapi biasanya berjaya ditemui dalam tempoh sehari.

“Pelbagai andaian dibuat orang ramai ketika ini, tetapi sebagai orang Islam kita perlu mendoakan yang terbaik,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan wujud unsur mistik dalam kes itu.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan, Mohd Nor Marzukee Besar meminta orang ramai membantu dengan apa juga cara termasuk mengadakan solat hajat bagi yang beragama Islam dan mengikut cara agama masing-masing.

Berita Harian X