Jumaat, 9 Ogos 2019 | 9:36am
MUFTI Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.

Mufti saran solat hajat usaha cari Nora Anne

SEREMBAN: Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, menyarankan individu umat Islam dan pihak yang terbabit secara langsung dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne Quoirin, 15, melakukan solat hajat, dalam usaha mengesan mangsa.

Beliau berkata itu adalah antara tindakan terbaik harus dilakukan dalam usaha mengesan mangsa yang masih belum ditemui walaupun operasi SAR memasuki hari keenam hari ini.

“Kalau sudah puas mencari tapi tak jumpa, buat solat hajat kerana itu cara terbaik yang perlu dilakukan umat Islam, untuk mendapatkan petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT.

“Tidak semestinya satu kariah masjid atau surau, sesiapa saja yang rasa nak bantu, buatlah solat hajat,” katanya ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai usaha pihak berkuasa melakukan operasi SAR bagi mengesan remaja terbabit yang hilang sejak Ahad lalu.

Mohd Yusof melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berharap anak kesayangan mereka itu dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Beliau berkata pelbagai kemungkinan boleh berlaku dan menyumbang kepada kegagalan mengesan mangsa sehingga kini termasuk unsur mistik seperti disembunyikan makhluk halus atau aspek lain seperti jenayah atau sebagainya.

“Kita tidak boleh menafikan perkara itu (unsur mistik), bagaimanapun saya tidak boleh mengulas panjang kerana pihak berkuasa yang berkaitan mempunyai kepakaran dan kaedah tersendiri dalam melaksanakan gerakan SAR remaja itu.

“Saya mendoakan usaha dilakukan pelbagai pihak bagi mencari remaja terbabit berjaya dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Berita Harian X