Jumaat, 9 Ogos 2019 | 11:41am
MISTERI kehilangan Nora Anne Quoirin, 15, sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, turut menarik perhatian selebriti tanah air, Fasha Sandha. - Foto IG Fasha Sandha

Fasha Sandha doakan keselamatan Nora Anne

SEREMBAN: Misteri kehilangan Nora Anne Quoirin, 15, sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, turut menarik perhatian selebriti tanah air, Fasha Sandha, apabila aktres itu menggesa orang ramai membantu mencari remaja Ireland itu.

Aktres berusia 35 tahun itu dilihat memuat naik gambar Nora Anne menerusi akaun Instgramnya selain meminta orang ramai membantu pihak berkuasa mengesan mangsa.

“Sesiapa yang berada di Seremban dan berjumpa dengan Nora (Anne) mohon hulurkan bantuan.

“Tolong! Semoga Nora dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya menerusi petikan yang dimuat naik dalam akaun Instagram miliknya.

Gambar yang dimuat naik pada akaun rasminya itu turut menerima maklum balas positif netizen yang turut mendoakan keselamatan Nora Anne.

Fasha berkata sebagai seorang ibu, beliau turut tersentuh hati dengan rayuan ibu mangsa, Meabh Jaseprine Quoirin, yang berharap supaya anaknya pulang ke pangkuan keluarga.

“Saya merasai laporan (media berhubung kes ini) kerana saya juga seorang ibu,” kata ibu kepada dua anak itu.

Nora Anne, yang mengalami masalah lembam, sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari keenam hari ini masih gagal mengesan mangsa.

2873 dibaca
Berita Harian X