Sabtu, 10 Ogos 2019 | 10:20am
Ahli keluarga kepada seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 ketika perjumpaan tertutup bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan mangsa yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto ihsan PDRM

Cuaca mendung, kabus tebal pada hari ketujuh SAR Nora Anne

NILAI: Hari ini genap seminggu remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, hilang dan keazaman pasukan menyelamat untuk menemukan mangsa tidak pernah padam bahkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) gadis itu diperhebatkan dengan kehadiran pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Komando VAT 69.

Pemerhatian Bernama mendapati kawasan operasi yang bermula pada 7 pagi dan berakhir 4 pagi keesokan harinya, sejak seminggu lalu, diselubungi kabus tebal awal pagi ini, ekoran dikelilingi hutan tebal, berbukit dan berdekatan dengan Gunung Berembun.

Sepanjang minggu ini, perubahan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan pada hari kelima dan semalam menyebabkan kawasan pencarian berkabus, mendung dan agak gelap sehingga tengah hari.

Perubahan cuaca itu akan menyebabkan kawasan pencarian di dalam kawasan hutan lembab, licin dan berlumpur sekali gus akan memberi cabaran kepada anggota operasi SAR itu.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ke-7 susulan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ke-7 susulan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Seawal 7 pagi juga, petugas media tempatan dan antarabangsa mula berkampung bagi mengikuti perkembangan lanjut operasi SAR berkenaan.

Sementara itu, aset keselamatan yang membawa anggota operasi dilihat bergerak masuk ke kawasan kejadian seawal 7 pagi, dan ia berterusan.

Sehingga semalam, kekuatan anggota operasi berkenaan terus ditingkatkan kepada 261 anggota dan diperkuatkan dengan pembabitan pasukan Komando VAT 69 dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Selain polis, agensi keselamatan yang turut terbabit adalah Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih, PGA Batalion 3 unit Senoi Praaq, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Perhutanan negeri.


Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menaiki kenderaan ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ke-7 susulan remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang hilang pada 4 Ogos lalu ketika menginap di sebuah resort di Pantai, Seremban. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Remaja Ireland yang mengalami masalah pembelajaran itu dilapor hilang selepas tiba di Malaysia bersama keluarganya pada Sabtu untuk percutian dua minggu di sebuah resort di Pantai, Seremban.

Remaja berkenaan disedari hilang dari bilik penginapan oleh keluarganya pada 8 pagi Ahad. – BERNAMA

4982 dibaca
Berita Harian X