Sabtu, 10 Ogos 2019 | 10:47am
Pekerja kontraktor berusaha memotong serta membersihkan beberapa pokok selepas tumbang disebabkan angin kencang serta ribut di persimpangan bulatan Gelugor, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Ribut: Tiada laporan kemusnahan harta benda, kemalangan jiwa di Kelantan

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian ribut di negeri ini sejak malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Kelantan, Mohd Wildan Azhari, berkata bagaimanapun, pihaknya ada menerima tiga laporan pokok tumbang di Pasir Puteh, Jeli dan Machang antara jam 2.08 pagi hingga 2.21 pagi tadi.

"Kita akui ada menerima laporan pokok tumbang, namun ia tidak bermakna disebabkan ribut kerana kejadian itu sering berlaku atas pelbagai faktor.

"Mungkin pokok tumbang yang berlaku awal pagi tadi hanya disebabkan angin kuat, bukan kategori ribut. Tambahan pula, kita tidak menerima sebarang panggilan kecemasan berkaitan kejadian ribut sejak malam tadi.

"Bagaimanapun, pasukan bomba sentiasa bersedia dengan pelbagai kemungkinan dengan menempatkan 80 peratus anggota di semua balai sempena musim perayaan Aidiladha ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Hujan lebat dan angin kencang membadai beberapa tempat di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah malam tadi, mengakibatkan banyak kejadian pokok tumbang, dan kejadian bumbung diterbangkan angin, selain kerosakan fizikal terhadap kemudahan awam dan menjejaskan lalu lintas, dilaporkan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan malam tadi turut memberi amaran kepada Perak dan Kelantan bahawa negeri itu akan dilanda ribut petir seperti berlaku di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.

MetMalaysia hari ini mengesahkan ribut di beberapa negeri di kawasan utara Semenanjung berpunca daripada taufan Lekima yang melanda beberapa wilayah di China.

Ketua Pengarahnya, Jailan Simon, dilaporkan berkata berlaku fenomena garis badai kesan tiupan angin susulan taufan itu di selatan Thailand yang kemudiannya melanda di utara Semenanjung.

Berita Harian X