Sabtu, 10 Ogos 2019 | 11:16am

Ibu Nora Anne muncul kali pertama

SEREMBAN: Ibu kepada remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang dilaporkan hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak Ahad lalu akhirnya membuka mulut dan memberi ucapan secara bersemuka kepada anggota pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pagi ini.

Ibu kepada tiga anak itu, Maebh Jaseprine Quoirin, tampil bersama suaminya, Sebastian Marie Philipe, untuk berjumpa dengan anggota bagi mengucapkan penghargaan kepada anggota yang bertugas.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua, kami sedar anda melakukan pencarian siang dan malam untuk mengesan Nora Anne.

“Kami tahu anda berusaha gigih, dan sanggup mengorbankan masa terutama perayaan (Aidiladha esok) untuk bersama kami serta mendoakan kami.

“Kami sangat menghargai usaha dan pengorbanan anda semua sama ada anggota yang berada di sini atau tidak (yang sedang melakukan operasi),” katanya menerusi rakaman video selama seminit, di sini, sebentar tadi.

Ucapan pada pertemuan secara tertutup di perkarangan resort itu dirakam dan dikongsikan oleh pihak polis kepada petugas media di lokasi.

Difahamkan, ini adalah kali pertama Maebh membuat penampilan sejak Nora Anne dilaporkan hilang, bertujuan mengucapkan penghargaan sempena sambutan perayaan Aidiladha esok.

Mengulas lanjut, Maebh turut meluahkan rasa kagum dengan usaha dan kepakaran yang ditonjolkan pasukan SAR dalam usaha mengesan anak sulungnya itu.

“Kami sangat kagum dengan usaha dan kepakaran serta dedikasi anda. Kami berharap pasukan SAR dapat menemui Nora,” katanya.

7870 dibaca
Ahli keluarga kepada seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 ketika perjumpaan tertutup bersama anggota pasukan mencari dan menyelamat di Bilik Gerakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) susulan mangsa yang dilaporkan hilang pada 4 Ogos lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto ihsan PDRM
Berita Harian X