Sabtu, 10 Ogos 2019 | 12:54pm
Anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan misi pencarian di lokasi seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15 yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di sebuah resort di Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. - Foto Adzlan Sidek

Orang Asli rancang guna kaedah tradisional kesan Nora Anne

SEREMBAN: Penduduk di beberapa perkampungan Orang Asli di sini, merancang untuk membantu mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, menggunakan kaedah tradisional tersendiri mengikut kepercayaan masing-masing.

Tok Batin Kampung Kolam Air Pantai, Ali Ngogor, berkata hasrat itu bagi memohon agar mangsa dapat ditemui segera dalam keadaan selamat.

Bagaimanapun, ditanya mengenai kaedah ritual itu, beliau enggan mengulas kerana bimbang ia akan melanggar pantang larang kepercayaan mereka.

“Kalau boleh kita cuba cara orang kita. Kita hanya boleh ikhtiar kerana berjaya atau tidak, itu adalah ketentuan tuhan.

“(Kaedah tradisional) ini rahsia. Kita belum buat lagi sebelum ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, penduduk dalam kalangan orang asli turut aktif menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sejak beberapa hari lalu, bagaimanapun tidak menemui sebarang hasil.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Suhaimi Kassim, turut menasihatkan penduduk setempat yang menjumpai mangsa untuk menghubungi pihak berkuasa segera.

“Saya ada lawat perkarangan resort pagi tadi dan saya lihat mereka (pasukan SAR) masih lagi menggiatkan kerja pencarian.

“Saya ambil inisiatif dengan masyarakat orang asli untuk bersama membantu mencari mangsa yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu.

“Cara dia (Nora Anne) hilang agak misteri juga sebab sepatutnya bukan susah untuk cari di kawasan berdekatan penempatan orang lain,” katanya.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di resort The Dusun, di Pantai di sini pada Ahad lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari ketujuh hari ini masih gagal mengesan mangsa.

1971 dibaca
Berita Harian X