Sabtu, 10 Ogos 2019 | 4:59pm
KEADAAN rumah penduduk yang rosak dilanda ribut sekitar daerah ini, awal pagi tadi. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah penduduk yang rosak dilanda ribut sekitar daerah ini, awal pagi tadi. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

Ribut di Sabak Bernam, Kuala Selangor mungkin berkaitan Lekima

SHAH ALAM: Kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor tengah malam hingga awal pagi tadi berkemungkinan ada kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Pengarah Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Jabatan Meteorologi, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata fenomena ribut itu sememangnya lazim berlaku ketika monsun barat daya.

Katanya, berdasarkan kepada imej radar, fenomena ribut itu berlaku selepas jam 1 pagi tadi.

“Sebelum itu, fenomena ini dikenali sebagai garis badai, iaitu beberapa awan ribut petir dalam satu garisan. Biasanya bila ada pergerakan angin yang laju, garis badai ini lebih mudah terbentuk.

KEADAAN rumah penduduk yang rosak dilanda ribut sekitar daerah ini, awal pagi tadi. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin
KEADAAN rumah penduduk yang rosak dilanda ribut sekitar daerah ini, awal pagi tadi. NSTP/Amirul Aiman Hamsuddin

“Seperti malam tadi, angin laju disebabkan adanya taufan Lekima yang berlaku di Taiwan. Untuk beberapa hari ini ia boleh berlaku lagi di negeri sepanjang Selat Melaka, terutama di negeri utara Semenanjung kerana berlaku penumpuan angin di situ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Justeru, Mohd Hisham berkata, penduduk terutama di negeri utara Semenanjung diminta berjaga-jaga berikutan fenomena ini boleh berlarutan untuk beberapa hari.

Pada masa sama, beliau berkata, walaupun taufan Lekima sudah lemah, di belakangnya ada satu lagi taufan lain iaitu taufan Krosa yang berkemungkinan melanda Jepun.

Bagaimanapun, Mohd Hisham berkata, berikutan kedudukannya yang jauh berbanding taufan Lekima, kesannya kurang kepada negara ini.

Sementara itu, sebanyak 443 buah rumah di Sabak Bernam dan sembilan di Kuala Selangor terjejas selepas dilanda ribut dipercayai kesan daripada taufan Lekima yang melanda Taiwan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, berkata, daripada jumlah berkenaan sebuah rumah roboh manakala 84 lagi dalam keadaan kritikal iaitu bumbung rumah tercabut serta hampir roboh.

“Sebanyak 266 rumah di Bagan Nakhoda Omar (BNO) terjejas termasuk sebuah rumah roboh, manakala 56 lagi dalam keadaan kritikal, 62 rumah di Sabak (empat kritikal); Pancang Bedena membabitkan 78 rumah dengan 12 kritikal; Sungai Panjang 25 rumah dengan 12 kritikal manakala Pasir Panjang membabitkan 12 rumah.

“Semalam, kita mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku ribut petir, hujan lebat serta angin kencang melanda Selangor iaitu Sabak Bernam dan Hulu Selangor bermula jam 12.50 pagi sehingga 4 pagi tadi,” katanya.

Berita Harian X