Sabtu, 10 Ogos 2019 | 6:29pm

Lelaki maut diserang 10 lelaki berparang

ISKANDAR PUTERI: Seorang lelaki maut manakala rakannya parah selepas diserang 10 lelaki bersenjatakan parang di sebuah taman permainan, di Taman Sri Pulai, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 12.50 tengah malam itu, lelaki berusia 20 tahun itu disahkan maut di hospital berikutan kecederaan parah akibat ditetak di bahagian kepala dan tangannya.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata kejadian itu ketika mangsa bersama empat rakannya bersantai di sebuah taman permainan di taman berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kira-kira 10 lelaki berparang tiba-tiba menyerang mangsa dengan menetaknya di kepala dan tangan.

“Mangsa sempat melarikan diri dalam keadaan berlumuran darah ke suatu tempat jaraknya kira-kira 30 meter dari tempat ditetak.

“Berikutan kejadian itu, polis menahan empat lelaki yang berusia antara 18 hingga 25 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Dzulkhairi berkata, rakan mangsa berusia 21 tahun parah manakala tiga lagi terselamat.

Katanya, kira-kira 10 minit kemudian pihak ambulans tiba di lokasi kejadian dan membawa mangsa dan rakannya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Pihak ambulans memaklumkan mangsa berusia 20 tahun itu disahkan mati ketika tiba di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Rakan mangsa yang cedera masih dirawat di HSA dan berikutan parah akibat tetakan di belakang bahu sebelah kiri,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X