Sabtu, 10 Ogos 2019 | 6:44pm
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (kanan) pada sidang media Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Balai Polis Pantai susulan seorang remaja perempuan warga Ireland hilang sejak 4 Ogos lalu. - NSTP/Adzlan Sidek
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop (kanan) pada sidang media Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Balai Polis Pantai susulan seorang remaja perempuan warga Ireland hilang sejak 4 Ogos lalu. - NSTP/Adzlan Sidek

Nora Anne: Kawasan carian dikecilkan, SAR diteruskan ketika Aidiladha

SEREMBAN: Skop kawasan pencarian remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di sebuah resort di Pantai, di sini, sejak Ahad lalu dikecilkan kepada empat kilometer (km) radius berbanding enam km sebelum ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, berkata ini kerana mangsa dipercayai berada dalam lingkungan kawasan itu.

Katanya, kekuatan anggota pasukan SAR turut ditambah kepada 317 orang hari ini, berbanding 261 orang semalam dan perkhidmatan Komando VAT 69 masih diteruskan.

“Skala pencarian dikecilkan kepada empat zon iaitu empat km radius kerana kita percaya mangsa tidak akan pergi jauh dan petugas SAR akan membuat penelitian lebih terperinci di kawasan pencarian.

“Lokasi pencarian bertumpu kepada kawasan curam, celah batu dan semak serta kawasan penginapan keluarga. Usaha pencarian yang memasuki hari ketujuh hari ini, masih gagal memperoleh sebarang petunjuk kukuh,” katanya pada sidang media di Balai Polis Pantai, di sini, hari ini.

Katanya polis sudah mengambil keterangan pemandu teksi yang membawa Nora Anne dan keluarganya ke pusat peranginan itu.

Selain pemandu teksi, katanya, polis turut melakukan pemeriksaan terhadap kakitangan resort berkenaan termasuk memeriksa rumah mereka.

Kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, operasi SAR itu tetap diteruskan esok walaupun umat Islam menyambut Aidiladha.

“Anggota yang beragama Islam akan diberi pelepasan untuk menunaikan Solat Sunat Aidiladha.

“Kami juga bimbang dengan keadaan Nora Anne kerana kini sudah masuk hari ketujuh. Kita tak tahu berapa lama dia boleh bertahan.

“Kita tak tetapkan lagi tarikh untuk menghentikan operasi ini. Ia bergantung kepada keadaan dan petunjuk yang diperoleh,” katanya.

Berita Harian X