Ahad, 11 Ogos 2019 | 10:50am

Nora Anne: Anggota SAR, penduduk tunai solat sunat Aidiladha

SEREMBAN: Walaupun sibuk melakukan persiapan operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, anggota pasukan keselamatan tidak ketinggalan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama penduduk setempat di sini, pagi ini.

Seawal jam 7.30 pagi, penduduk setempat disertai anggota SAR dan petugas media dilihat mula memenuhi Masjid Kariah Pantai, di sini, untuk melaungkan takbir raya sebelum menunaikan solat sunat itu bersama.

Solat sunat yang diimamkan oleh Imam 1 masjid Abdul Khahar Sukin, turut disertai Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar.

Abdul Khahar berkata, dianggarkan 500 jemaah menyertai solat sunat itu pada pagi ini.

“Saya terharu melihat kehadiran anggota SAR yang sudi bersama penduduk memenuhkan saf masjid dan meriahkan lagi suasana pagi ini.

“Walaupun sibuk dengan operasi pencarian mangsa, mereka (anggota) tetap menunaikan kewajipan agama. Saya doakan operasi mereka akan dipermudahkan,” katanya kepada BH, di sini, hari ini.


ANGGOTA operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Sementara itu, Mohd Nor Marzukee berkata, selepas menunaikan solat sunat Aidiladha, anggota SAR kemudiannya meneruskan operasi mencari mangsa.

“Untuk operasi SAR hari kelapan ini, kami gunakan pelbagai teknik pencarian untuk mengesan mangsa.

“Kami berharap rakyat Malaysia terus mendoakan operasi ini berjalan lancar dan berjaya menemui mangsa secepat mungkin,” katanya.

Operasi SAR bagi mengesan remaja Ireland itu kini memasuki hari ke lapan dengan kekuatan seramai 317 anggota termasuk pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) Komando VAT 69.

Nora Anne yang mengalami masalah lembam sebelum ini dilaporkan hilang ketika menginap di sebuah resort di Pantai di sini pada 4 Ogos lalu sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi SAR di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, operasi SAR yang memasuki hari ketujuh semalam masih gagal mengesan mangsa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop, pada sidang media semalam, berkata skop kawasan pencarian mangsa sehingga semalam dikecilkan kepada empat kilometer radius berbanding enam km sebelum ini.

Ini kerana mangsa dipercayai berada dalam lingkungan kawasan itu.


ANGGOTA operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

1109 dibaca
KETUA Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar serta anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) Nora Anne berkesempatan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Kariah Pantai, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X